fb fb fb fb fb

Kanak-kanak tahun lima maut dipercayai akibat jangkitan influenza

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober- Seorang murid tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat jangkitan influenza.

Mangsa, Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, 11, yang juga anak bongsu daripada dua beradik disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan AMBS.

Ibunya, Normala Mohd Nor, 42 tahun ketika ditemui berkata, anaknya mula menunjukkan tanda tidak sihat pada pagi Selasa.

Bimbang berlarutan, dia membawa anaknya ke sebuah klinik swasta di Paka kerana khuathir berikutan terdapat kes jangkitan influenza di sekolah berkenaan.

'Doktor di Klinik An Nur di Paka mengesahkan anak saya dijangkiti Infulenza. Doktor juga telah memberikan ubat antiviral. Tetapi selepas makan ubat diberikan, dia muntah dan cirit birit sebelum dia kejang dan saya terus bawak ke hospital.

Sampai di hospital, bantuan segera diberikan disebabkan bibir anak saya sudah bertukar kebiruan," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

Menurut Normala lagi, sepatutnya allahyarham dikebumikan kira kira 10 pagi semalam namun ditangguhkan kerana kes perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan untuk siasatan lanjut. Jenazah selesai menjalani bedah siasat lewat petang sebelum dibawa pulang ke AMBS dan dikebumikan selepas solat isyak.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong ketika dihubungi berkata keputusan bedah siasat akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

SITI NOORAIN ABDULLAH