(GAMBAR FAIL)
BAGAN SERAI, 19 Mac- Kanak-kanak yang belum menerima suntikan vaksin lebih berisiko terdedah kepada komplikasi sindrom radang pelbagai sistem (MIS-C) sekiranya dijangkiti COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dapat mengelakkan mereka daripada mengalami gejala serius tersebut.
Jelas beliau, setakat ini, peratusan kanak-kanak yang telah divaksin mengalami alahan tersebut adalah rendah.
"Kalau saya nak nyatakan kanak-kanak yang tak diberikan suntikan vaksin, kalau dia kena COVID-19 peratusan dia yang kena MIS-C lebih tinggi, lebih risiko MIS-C, adalah 'multi-system inflammatory syndrome."
"Saya menyeru ibu bapa bagi persetujuan kerana tanpa vaksin adalah lebih bahaya kepada kanak-kanak. Dengan vaksin ini dapat menurunkan kadar kes serius kepada anak-anak," kata Azmi selepas merasmikan Program Pelancongan Domestik Mukim Semanggol, Daerah Kerian di Dataran Kampung Padang Lalang Tebuk Panchor, Semanggol.
(Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali merasmikan Program Pelancongan Domestik Mukim Semanggol, Daerah Kerian hari ini)
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan sehingga kini sambutan diterima terhadap PICKids mencatatkan pertambahan namun ianya masih perlahan.