fb fb fb fb fb

Kanak-kanak 12 tahun lemas di Sungai Tembeling

Jenazah Mustaqim Rizman, 12

JERANTUT, 19 Februari- Mayat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang lemas di Sungai Tembeling dekat Kampung Kuala Sat, sini, Pahang ditemukan pada pukul 3.00 petang tadi.

Mangsa, Mustaqim Rizman, hilang sejak semalam selepas bermandi-manda bersama lima rakannya di sungai berkenaan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Mat Kamis berkata, mayat ditemukan pada kedalaman 18 meter (m) dan kira-kira 20m daripada lokasi mangsa dihanyutkan arus deras pada pukul 3.20 petang semalam.
 
Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dihubungi mengenai kejadian itu pada pukul 5.30 petang semalam dan mengerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Operasi SAR tersebut turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Bot Kuala Sat, penduduk dan nelayan.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan pada pukul 7.10 malam kerana keadaan gelap dan disambung semula pada pukul 9.30 pagi tadi.

Mayat murid Sekolah Kebangsaan Kuala Sat itu kemudian ditemukan oleh bomba yang melakukan pencarian menggunakan ‘grappling iron’ dibantu perahu penduduk.

Hasil bedah siasat oleh Unit Forensik Hospital mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah.

SITI AISHAH BINTI MD ISA