fb fb fb fb fb

Kajian sikap pengundi, kayu ukur strategi BN untuk PRU15

SHAH ALAM, 31 Julai- Semua parti komponen dibawah Barisan Nasional (BN) perlu melakukan kajian sikap pengundi secara terperinci dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu penting bagi memahami sentimen pengundi secara menyeluruh dalam usaha untuk mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN.

"Kita perlu lakukan kajian sikap pengundi secara terperinci sebab strategi berperang ini, kita perlu tahu kekuatan kita dan musuh. Jika tidak, kita mungkin akan kecundang," kata Ismail Sabri ketika berucap pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.


(Perdana Menteri yang juga merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian
dalam ucapannya pada Konvensyen BN Selangor, hari ini)

Turut hadir, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Perdana Menteri turut berkata kaedah itu juga akan mengenal pasti kekuatan gabungan politik itu berasaskan fakta dan bukan emosi.

Jelasnya, kajian tersebut perlu disiapkan sebelum menghadapi PRU15.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata komponen parti perlu ke arah lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat terutama segala inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan kepada Keluarga Malaysia.

Perkara itu perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi dan menerusi media sosial.

"Kita perlu jadi contoh dan juga menjadi lidah kerajaan (penyampai maklumat) untuk membawa berita-berita yang diumumkan kerajaan. Itu adalah tugas kita untuk menghebahkan kepada rakyat," tambahnya.

Komponen parti perlu membawa imej BN yang bersih dan pemimpin yang mampu membawa negara ke arah cemerlang.

Beliau mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyerang satu sama lain menjelang PRU15.

Kesepakatan dan perpaduan sesama ahli dalam parti komponen terus diperkukuhkan lagi untuk memenangi hati rakyat sekali gus mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil pada PRU15.

 

Media Baharu