BENTONG, 6 September - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan tindakan penguatkuasaan penuh dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya di seluruh negara yang dilihat masih menunjukkan peningkatan.
Siri penguatkuasaan dan operasi akan dipertingkatkan di seluruh negara sempena dengan kempen keselamatan jalan raya kali ini, kata Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Penyerahan Jalur Gemilang di Plaza Tol Bentong di sini.
"Bagi memastikan keselamatan jalan raya terjamin serta aliran trafik lancar, pendekatan berteraskan 'total enforcement' dan penyampaian perkhidmatan terbaik akan dilaksanakan dalam kempen kali ini bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah ke arah membendung peningkatan kes kemalangan jalan raya dan kematian," katanya.
Selain itu, pembabitan seluruh jentera JSPT di peringkat kontinjen dilaksanakan bertujuan mengawal lalu lintas, risikan operasi dan pemantauan di kawasan kerap berlaku kemalangan.
Elemen JSPT akan digerakkan secara optimum melibatkan Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV), Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR), Unit Risikan dan Operasi Kontinjen dan Daerah, ujar Yusri.
Pada masa sama, katanya, kerjasama masyarakat amat dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan seperti video atau gambar, agar tindakan dapat diambil terhadap mereka yang masih ingkar dengan peraturan dan undang-undang jalan raya.