
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) wanita meningkat kepada 56.8 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 56.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu, menurut Laporan Survei Tenaga Buruh (STB) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Laporan STB dan Survei Gaji rekodkan peningkatan gaji purata pekerja wanita 5.7% kepada RM3,499 pada 2024.
- KSM tiada data mengenai tenaga kerja wanita serta purata gaji sebelum dan selepas pelanjutan cuti bersalin daripada 60 ke 98 hari.
- Aduan berkaitan cuti atau elaun bersalin menurun kepada 41 kes pada 2025 berbanding 67 kes pada 2024.
- Penguatkuasaan cuti bersalin 98 hari bermula Januari 2023 di Semenanjung dan Mei 2025 di Sabah serta Sarawak.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, menerusi Laporan Survei Gaji dan Upah turut merekodkan peningkatan gaji purata pekerja wanita sebanyak 5.7 peratus atau RM188 kepada RM3,499 pada 2024 berbanding RM3,311 pada 2023.
“Pada masa ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak mempunyai data berhubung tenaga kerja wanita serta purata gaji sebelum dan selepas pelanjutan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari.
“Bagaimana pun, berdasarkan statistik aduan mengenai cuti atau elaun bersalin, telah menunjukkan penurunan dengan hanya 41 kes aduan dilaporkan pada tahun 2025 berbanding 67 kes pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang ingin mengetahui data terkini tenaga kerja wanita serta purata gaji sebelum dan selepas pelanjutan cuti bersalin kepada 98 hari.
Menurut beliau, penguatkuasaan tempoh cuti bersalin 98 hari telah bermula sejak Januari 2023 di Semenanjung Malaysia dan Mei 2025 di Sabah serta Sarawak selaras dengan pindaan Akta Kerja 1955 serta Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.