fb fb fb fb fb

Kadar fi LKM ZEV berkuat kuasa 1 Januari 2026

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 4 Jun - Kadar baharu fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan bebas emisi (ZEV) atau kenderaan elektrik akan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kadar fi baharu itu 85 peratus lebih rendah berbanding kadar sedia ada yang bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan kenderaan ZEV.

Beliau berkata, semua kadar fi bagi kenderaan ZEV akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun bagi memastikan keberkesanan dalam mencapai objektif peralihan kepada ZEV serta impak kepada hasil kerajaan.

“Kadar fi akan meningkat selaras dengan kenaikan kuasa motor elektrik. Peningkatan kuasa motor elektrik akan mewakili peningkatan dalam harga belian, saiz, segmen dan berat kenderaan. Peningkatan secara progresif mengikut setiap peningkatan kuasa motor elektrik akan mengelakkan peningkatan kadar fi LKM secara mendadak dari satu kumpulan kepada kumpulan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan kadar fi LKM baharu bagi kenderaan elektrik (EV), di sini.

Tambah Loke, kadar fi LKM baharu yang ditetapkan itu hanya terpakai kepada ZEV dalam kategori PBEV (kenderaan elektrik bateri) dan FCEV (kenderaan elektrik sel bahan bakar).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN