fb fb fb fb fb

Kadar faedah lebih had: Syarikat pemberi wang berlesen bakal berdepan tindakan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November - Syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang mengenakan kadar faedah melebihi had dibenarkan atau lebih tinggi daripada jumlah pinjaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17A Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 Akta 400.

Di bawah peruntukan tersebut, kesalahan berkenaan boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 18 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata Seksyen 23 Akta sama turut melarang sebarang caj tambahan bagi perbelanjaan pinjaman, kecuali kos duti setem dan fi  pengakusaksian seperti dinyatakan dalam format perjanjian yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

“Pemberi Pinjam Wang berlesen juga dilarang menggunakan kaedah tuntutan semula bayaran yang menindas atau mempunyai elemen kekerasan, selaras dengan Seksyen 29B Akta 400.

"Kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menjelaskan, mekanisme kawalan kadar faedah juga telah diperincikan di bawah Subseksyen 17A(1) Akta 400 yang menetapkan bahawa pinjaman bercagar tidak boleh mengenakan kadar faedah melebihi 12 peratus setahun atau 1.0 peratus sebulan, manakala pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan.

Datuk Aiman menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran M. Parameswaran, mengenai mekanisme kawalan terhadap pemberi pinjam wang berlesen bagi melindungi rakyat daripada caj melampau dan kaedah tuntutan yang menindas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD