fb fb fb fb fb

K-KOMM giat promosi HSN 2022, galak rakyat amalkan gaya hidup sihat

Foto FB K-KOMM

PUTRAJAYA, 8 Oktober- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) komited dalam mempromosi aktiviti dan program yang disediakan sempena Hari Sukan Negara 2022.

Menurut Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek, kementeriannya berperanan dalam melakukan hebahan menerusi platform saluran televisyen, radio dan media sosial untuk menggalakkan penyertaan Keluarga Malaysia terhadap penganjuran acara sukan tahunan negara itu.

Tambah Mohammad, sukan merupakan satu wadah dalam menyatukan Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa.

"Peranan K-KOMM mempromosi HSN 2022 melalui pelbagai saluran TV, radio dan sebagainya. Pelbagai promosi aktiviti juga kita siarkan di platform media sosial untuk kita memastikan supaya rakyat Malaysia dapat menyertai pelbagai acara yang dianjurkan oleh kementerian ataupun di peringkat negeri masing-masing.

Dengan promosi itu, kita dapat menggalakkan ramai lagi Keluarga Malaysia untuk sama-sama beriadah secara tidak langsung kita dapat menguatkan lagi keutuhan perpaduan dalam Keluarga Malaysia," kata Mohammad kepada RTM ketika ditemui pemberita RTM selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 peringkat kementerian di Putrajaya.

Di samping itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat seiring dengan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tahun lalu.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) turut tidak ketinggalan menjayakan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 peringkat kementerian yang berlangsung pada hari ini.

Program yang disertai seramai 500 warga K-KOMM itu dimeriahkan dengan acara zumba dan senamrobik bersama barisan selebriti yang hadir.

Selain itu, program tersebut turut diserikan dengan acara cabutan bertuah dan sesi beramah mesra dengan selebriti.


(Foto FB K-KOMM)

Media Baharu