fb fb fb fb fb

Junior Innovathon, 50 kumpulan terbaik bersaing rebut hadiah utama

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – “Idea luar biasa, Inovasi hebat”, program Junior Innovathon 2025 menyaksikan generasi masa depan bakal berentap menunjukkan bakat masing-masing di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.

Program realiti ini adalah bagi mencungkil bakat inovasi pelajar-pelajar sekolah yang terdiri daripada murid Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Kolej Vokasional, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta Sekolah Persendirian.

Program ini merupakan anjuran kerjasama empat Kementerian iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Majlis Pelancaran Program Junior Innovathon 2025 selamat disempurnakan oleh Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi mewakili Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, baru-baru ini.

Terdahulu, RTM sebagai stesen penyiar rasmi Junior Innovathon telah mengadakan sesi pemilihan bagi penyertaan yang layak dan penyertaan telah dibuka bermula pada 3 Julai hingga 8 Ogos 2025 secara dalam talian.

Jumlah penyertaan awal yang telah diterima adalah sebanyak 2,107 penyertaan.

Setelah saringan pertama dilakukan, 533 penyertaan telah dipilih untuk sesi uji bakat di 14 lokasi seluruh negara manakala uji bakat telah dilaksanakan pada 2 hingga 12 September 2025 di seluruh negara.

Daripada 533 projek inovasi yang telah disaring, 50 projek terbaik telah dipilih.

25 kumpulan dari Sekolah Rendah dan 25 kumpulan dari Sekolah Menengah akan mara ke peringkat separuh akhir yang akan beraksi dalam 5 episod di Angkasapuri.

Johan sekolah rendah dan menengah dari setiap episod akan berentap di episod akhir iaitu episod 6 selain peserta akan dibimbing oleh Datin Marlia Musa yang akan bertindak sebagai jurulatih persembahan untuk memantapkan cara peserta mempersembahkan idea di hadapan juri dan penonton.

Junior Innovathon akan dikendalikan oleh pengacara utama Aliff Satar, manakala Sangeetha Krishnasamy akan bertindak sebagai pengacara bersama bagi sesi “backstage”.

Hadiah lumayan menanti juara iaitu wang tunai berjumlah RM40,000 yang akan dikreditkan menerusi akaun SSPN dengan tujuan menggalakkan simpanan tabung Pendidikan.

Buat julung kalinya program Junior Innovathon akan bersiaran menerusi saluran TV1 dan RTMKlik pada pukul 9.00 malam di mana episod pertama akan bermula pada 12 Oktober 2025 dan disiarkan setiap Ahad sehingga episod ke-6 iaitu episod akhir secara langsung pada 16 November 2025.

Trainee