Jualan Agro MADANI kekal tawar harga berpatutan, bekalan makanan stabil

Abdul Rashid Bahri (tiga kanan) pada Program Jualan Agro MADANI di Selayang hari ini

KUALA LUMPUR, 20 April- Program Jualan Agro MADANI terus menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan menerusi pendekatan jualan terus dari ladang kepada pengguna, meskipun negara berdepan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga kekal stabil dan bekalan mencukupi; subsidi diesel kerajaan membantu elakkan kenaikan harga.
  • Inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu RM400 sebulan kurangkan kos pengguna dan tingkatkan pendapatan usahawan antara RM3,000 hingga RM5,000.
  • Pendekatan jualan terus tanpa orang tengah membolehkan harga ditawarkan 10 hingga 30 peratus lebih rendah.
  • Program MADANI Johor himpunkan 30 usahawan, sasaran 2,000 pengunjung, nilai jualan dianggarkan RM100,000 dan promosi set kombo serendah RM5.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata harga barangan keperluan ketika ini kekal stabil dan mencukupi.

“Ketika ini, harga masih stabil dan bekalan juga mencukupi. Subsidi diesel yang diberikan kerajaan kepada petani dan pengedar turut membantu, sekali gus tiada keperluan untuk menaikkan harga (barangan) pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu sebanyak RM400 sebulan membantu mengurangkan kos, selain memberi kesan positif kepada pendapatan usahawan tempatan antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap peserta.

Menurutnya, pendekatan jualan terus tanpa melalui orang tengah turut membolehkan harga barangan ditawarkan pada kadar lebih rendah kepada pengguna.

“Kita memastikan harga yang dijual adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran” katanya.

Abdul Rashid ditemui media pada Program Jualan Agro MADANI di Selayang hari ini.