
POKOK SENA, 18 Januari – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah mengerahkan tujuh pam mudah alih ke kawasan pertanian padi yang kritikal demi memastikan kelangsungan tanaman padi sewaktu musim kemarau masing-masing di Daerah Pokok Sena (3) dan Pendang (4).
- JPS Kedah menempatkan pasukan teknikal BPME untuk memasang pam mudah alih di lokasi terjejas.
- Satu pam 5 cusec dan dua pam 2.5 cusec dipasang di Kampung Nawa Budi, Pokok Sena.
- Di Kampung Bukit Moral, Pendang dipasang tiga pam 2.5 cusec dan satu pam 1.0 cusec.
- Semua pam dalam status kesiapsiagaan penuh dan boleh digerakkan ke lokasi lain bila perlu.
Pengarah JPS Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto dalam kenyataan memaklumkan, pam air tambahan itu dilakukan pasukan teknikal dari Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS Kedah di Kampung Nawa Budi, Pokok Sena pada Khamis lalu.
“Ia melibatkan satu unit pam berkapasiti tinggi 5 cusec (140 liter/saat) yang direka untuk penghantaran air berskala besar yang pantas dan 2 unit pam 2.5 cusec (70 liter/saat) dengan kapasiti aliran keseluruhan 280 liter/saat.
“Manakala di Kampung Bukit Moral, Pendang; aset mudah alih berupa tiga unit pam 2.5 cusec dan satu unit pam 1.0 cusec dengan kapasiti aliran keseluruhan 238 liter/saat dihantar untuk pemasangan oleh petani tempatan bawah pemantauan JPS Daerah.
“Kesemua unit pam berkenaan kini berada dalam status kesiapsiagaan penuh untuk beroperasi pada bila-bila masa bagi menyalurkan air ke kawasan sawah yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Pam bergerak tersebut sedia untuk dibawa ke lokasi-lokasi lain yang menghadapi masalah sama. JPS Kedah sentiasa memberi komitmen untuk memastikan pekebun dan pesawah mendapat bekalan air mencukupi.