JPJ perkasa penguatkuasaan digital, kurangkan sekatan jalan raya

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pendekatan itu mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan pematuhan unda-undang jalan raya./ RTM

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluas pendekatan penguatkuasaan digital sebagai usaha meningkatkan keberkesanan pemantauan, sekali gus mengurangkan sekatan jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan kamera HD berzum pada kenderaan peronda untuk mengesan kesalahan jalan raya secara automatik.
  • Integrasi AI dan pangkalan data MySikap untuk semakan nombor pendaftaran, insurans, cukai jalan serta padanan jenis dan warna kenderaan.
  • Pendekatan itu mengoptimumkan penggunaan anggota penguatkuasa tanpa memerlukan pertambahan besar tenaga kerja.
  • Perluasan dokumen elektronik, notis digital dan pemantapan tindakan terhadap maklumat atau dokumen palsu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pendekatan baharu itu akan menggunakan teknologi kamera menggunakan kamera pada kenderaan peronda bagi mengesan pelbagai kesalahan jalan raya secara automatik dan digital.

“Kamera ini dilengkapi kamera berdefinisi tinggi (HD) dengan fungsi zum yang membolehkan imej pemandu diperhatikan dengan lebih jelas. Pelbagai ciri dan fungsi baharu juga akan diperkenalkan dalam masa terdekat,” katanya ketika sesi taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 di sini, hari ini.

Tambahnya, pendekatan tersebut juga dapat mengoptimumkan penggunaan anggota penguat kuasa tanpa memerlukan pertambahan besar tenaga kerja.

Kamera tersebut disokong integrasi pangkalan data sedia ada dan juga teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat proses pengesanan dan tindakan penguatkuasaan

“Kecerdasan buatan (AI) akan mengesan dan menyemak nombor pendaftaran kenderaan secara automatik. Melalui integrasi dengan sistem MySikap yang menyimpan pelbagai data berkaitan kenderaan, kami dapat mengenal pasti sama ada sesebuah kenderaan mempunyai perlindungan insurans yang sah, cukai jalan yang masih berkuat kuasa serta maklumat pendaftaran yang tepat. Sistem ini juga mampu membuat padanan antara nombor pendaftaran dengan jenis dan warna kenderaan,” katanya.

Beliau berkata ianya akan diperluaskan secara berperingkat dan dijangka diperkukuh mulai tahun depan menerusi penggunaan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR).

Selain itu, penekanan kepada transformasi digital JPJ, turut melibatkan peluasan penggunaan dokumen elektronik dan penyampaian notis secara digital, selain memperketat tindakan terhadap kesalahan mengemukakan maklumat atau dokumen palsu kepada pihak berkuasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.