fb fb fb fb fb

JPJ audit syarikat bas terlibat nahas rombongan tadika

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan rombongan murid tadika di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden itu semalam dan kini diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

"JPJ akan jalankan JISA terhadap pengendali bas tersebut dan akan ambil tindakan selanjutnya selepas laporan audit diterima," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata kejadian pada kira-kira 12.18 tengah hari itu melibatkan sebuah bas membawa lima guru dan 30 kanak-kanak tadika dalam satu rombongan.

Rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial menunjukkan bas tersebut hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di laluan berkenaan.

Tiga kanak-kanak dan seorang guru pengiring cedera di bahagian kepala serta menerima rawatan pesakit luar di Hospital Serdang, manakala pemandu bas ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK