Johor ambil langkah segera tangani gangguan bekalan air di Lok Heng

FOTO FB Fazli Salleh

KOTA TINGGI, 4 April – Kerajaan Johor mengambil langkah segera susulan Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng terhenti operasi akibat situasi kemarau di Sungai Ulu Sedili Kecil ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyediaan 10,000 botol air mineral kepada penduduk terjejas.
  • Penempatan 25 tangki air statik dan 14 lori tangki bergerak di lokasi strategik.
  • Pelaksanaan 'inline injection' di dua lokasi Lok Heng dan dua lokasi Waha, pam terus ke sistem paip melalui pili bomba.
  • Ranhill SAJ diminta tambah lokasi inline injection terutama di hujung bekalan untuk memastikan bekalan sampai semua pengguna.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antara langkah dilaksanakan termasuk penyediaan 10,000 botol air mineral kepada penduduk terjejas.

Menurut beliau, sebanyak 25 unit tangki air statik turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik selain 14 lori tangki bergerak bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

“Selain itu, dua lokasi di Lok Heng dan dua lokasi di Waha akan menggunakan kaedah ‘inline injection’ iaitu air dipam terus dari lori tangki ke sistem paip melalui pili bomba.

“Pihak Ranhill SAJ turut diminta menambah lokasi ‘inline injection’, khususnya di kawasan hujung bekalan agihan bagi memastikan bekalan air sampai kepada semua pengguna terjejas,” katanya.

Langkah berkenaan diambil bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air kepada penduduk sementara menunggu situasi kembali pulih.