KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan Qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi, pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65, bertekad untuk terus berkhidmat dan menyebarkan keindahan kalam suci itu selepas memperoleh kemenangan.
Johan Qari MTHQA ke-65 Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan menyifatkan kesabaran, guru yang tepat, dan amalan berterusan sebagai kunci kejayaan.
"Kalau menang, jangan rasa sudah cukup hebat. Terus belajar, perbaiki suara dan teknik supaya benar-benar profesional. Gunakan juga platform media sosial untuk menambah ilmu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.
Aiman turut berkongsi pengalaman dan latihan mencabar dalam menguasai pengolahan taranum dan kawalan suara yang stabil sepanjang penyertaan kali ini.
Walaupun tidak lagi layak bertanding di peringkat antarabangsa di Malaysia, Aiman merancang untuk menyertai tilawah luar negara seperti di Iran, Kuwait dan Rusia, selain berkhidmat sebagai juri tilawah di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sementara itu, Johan Qariah MTHQA ke-65 Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi pada majlis kali ini susulan masalah kesihatan menjelang giliran terakhirnya.
Namun Wan Sofea Aini berjaya mengekalkan prestasi di pentas MTHQA ke-65.
"Dalam bidang ilmu al-Quran, taranum, tajwid atau ilmu al-Quran yang lain perlu belajar secara berterusan supaya akan datang menjadi aspirasi kepada orang di luar sana," katanya.
Wan Sofea Aini kini mengendalikan One Quran Akademi bersama adiknya, menawarkan kelas al-Quran secara dalam talian meliputi tajwid, taranum dan pelbagai ilmu berkaitan, sebagai usaha menyebarkan keindahan al-Quran ke seluruh lapisan masyarakat.