fb fb fb fb fb

JKN Kedah dedah ramai peniaga bazar Ramadan tiada suntikan anti-tifoid

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ketika melakukan pemeriksaan dan operasi kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman

ALOR SETAR, 19 Mac - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mendedahkan seramai 45 pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini didapati tiada suntikan vaksid anti-tifoid.

Manakala 73 pengendali makanan yang lain tiada latihan atau kursus pengendalian makanan.
 
Ia hasil Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Negeri Kedah yang dilakukan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sejak 1 Ramadan lalu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (Bersara) Mansor Zakaria berkata dalam operasi tersebut, pihaknya telah memeriksa 1,338 pengendali makanan melibatkan 687 premis.
 
Dalam operasi itu juga, sebanyak 9 notis kompaun mengikut Seksyen 32 B Akta Makanan 1983 dikeluarkan terhadap pengendali makanan yang melakukan pelbagai kesalahan.
 
Katanya, JKN Kedah sentiasa memantau aspek keselamatan makanan di bazar Ramadan.
 
"Kita minta peniaga-peniaga amalkanlah benda-benda yang boleh menjamin tentang kualiti makanan, kebersihan termasuk kebersihan individu itu sendiri serta peniaga itu sendiri. Kita menggalakkan mereka memakai penutup kepala, pakai apron yang bersih.

"JKN Kedah telah menyediakan saluran rasmi QR Code Maklumbalas atau Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan untuk pengguna menyalurkan sebarang maklum balas dan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan," katanya kepada pemberita selepas menyertai pemeriksaan dan operasi kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Kedah tahun 2024 di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman hari ini.
 
Beliau berkata, bagi tahun ini, jumlah tapak bazar Ramadan di negeri itu meningkat kepada 101 tapak berbanding 72 tapak pada tahun sebelumnya.
 
Tahun ini bazar Ramadan di Kedah melibatkan 6,423 buah gerai.

GRACE AISYAH KEDAYAN