Jerebu: JAS tingkat rondaan, penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkatkan rondaan serta tindakan penguatkuasaan di kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah bagi mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, susulan keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAS tidak akan berkompromi terhadap pembakaran terbuka dan akan menyelaraskan tindakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
  • NADMA boleh diaktifkan dan Operasi Pembenihan Awan dilaksanakan jika IPU melebihi 150 lebih 24 jam.
  • Aktiviti luar dihentikan pada IPU melebihi 100; penutupan sekolah, tadika dan taska diwajibkan pada IPU melebihi 200.
  • Denda RM25,000 hingga RM1,000,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi pembakaran terbuka; lapor JBPM 999 atau JAS 1-800-88-2727.

Menurut JAS, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan bersedia menyelaraskan tindakan bersepadu mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

Langkah tersebut termasuk kemungkinan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi tahap 150 selama lebih 24 jam.

Selain itu, aktiviti di luar bilik darjah akan dihentikan jika IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah, tadika dan taska diwajibkan apabila bacaan IPU melebihi 200.

“Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya. Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” menurut kenyataan itu.

Tambah JAS, kemerosotan kualiti udara semasa turut disumbangkan oleh cuaca kering berterusan di rantau selatan ASEAN serta masalah jerebu rentas sempadan.

“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 19 September 2026, sebanyak 865 titik panas dikesan di Kalimantan, 16 di Sumatera dan enam titik panas di Malaysia, iaitu di Sarawak.

“ASMC turut melaporkan bahawa kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, JAS turut memaklumkan bahawa kepulan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan dilaporkan bergerak ke barat Sarawak dan selatan Sabah, manakala jerebu dari selatan Sumatera dan Kalimantan bergerak menuju ke Singapura serta selatan Semenanjung.

Orang ramai dan pihak industri digesa bekerjasama untuk mengurangkan pelepasan bahan pencemar serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Sebarang insiden pembakaran terbuka boleh dilaporkan segera kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.

Bagi mendapatkan maklumat berkaitan IPU terkini, layari laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di pautan https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau muat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.