Jerebu: IPU di Serian catat 391, kualiti udara masih pada tahap berbahaya

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak terus merosot dengan kawasan Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 391, sekali gus berada pada tahap berbahaya, setakat pukul 5 petang pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa kawasan Sarawak (Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sarikei) merekodkan IPU pada tahap sangat tidak sihat.
  • Asap rentas sempadan akibat peningkatan titik panas di Kalimantan, Sumatera dan Sarawak mempengaruhi kualiti udara.
  • ASMC melaporkan 795 titik panas di Kalimantan, 144 di Sumatera dan tiga di Sarawak.
  • JAS teruskan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka dan penguatkuasaan; 502 rondaan OMPT telah dilaksanakan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon, empat kawasan lain di Sarawak pula merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching (285), Sri Aman (275), Samarahan (274) dan Sarikei (206).

“Keadaan itu dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, susulan peningkatan aktiviti titik panas di rantau ASEAN Selatan.

“Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC), sebanyak 795 titik panas dikesan di Kalimantan, 144 di Sumatera dan tiga di Sarawak.

“Keadaan cuaca kering turut berlaku di kebanyakan kawasan rantau ASEAN Selatan, manakala kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi bahagian utara Borneo serta beberapa kawasan di Filipina,” katanya melalui kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, JAS Negeri Sarawak turut meneruskan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dan tindakan penguatkuasaan, khususnya di kawasan berisiko.

Sementara itu di Sabah, IPU di enam stesen pemantauan menunjukkan penurunan setakat 6 petang tadi.

Bagaimanapun empat daripadanya masih berada pada tahap tidak sihat.

Menurut JAS Sabah, penurunan paling ketara direkodkan di Sandakan apabila IPU susut kepada 93 daripada 151 pada Rabu, sekali gus kembali ke tahap sederhana.

Politeknik Kota Kinabalu dan Keningau masing-masing mencatatkan penurunan, dengan bacaan IPU di Politeknik Kota Kinabalu (156) Keningau (153).

Kota Kinabalu pula merekodkan IPU 156, manakala Kimanis turun kepada 154 daripada 170. Tawau turut pada tahap sederhana dengan mencatat IPU 98.

Menurut laporan ASMC, berdasarkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20, turut menunjukkan tiada titik panas dikesan di Sabah pada Rabu.

“Setakat ini, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.