
BUKIT KAYU HITAM, 3 September – Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand akan terus dipertingkat susulan perkembangan dan insiden yang berlaku di selatan Thailand.
- Angkatan Tentera Malaysia akan terus mempertingkat kawalan sempadan, bukan sahaja terhadap jenayah dan penyeludupan tetapi juga ancaman lain.
- Langkah ini bertujuan memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara dan mengelakkan perkara tidak diingini merebak ke sempadan.
- Kekuatan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS) mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab kawalan sempadan dari Perlis hingga Kelantan.
- Pembinaan 10 blok penginapan di kem bermula 20 Jun 2024, siap sepenuhnya 13 Februari lalu, membabitkan kos RM44.87 juta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada merebak ke kawasan sempadan Malaysia.
“Angkatan Tentera Malaysia melaksanakan tanggungjawab menjaga kedaulatan negara antara Malaysia dengan Thailand dan pada masa sama akan terus mempertingkat kawalan, bukan sahaja terhadap kegiatan biasa seperti jenayah, penyeludupan dan sebagainya.
“Mengambil kira insiden yang berlaku di selatan Thailand, kita mahu memastikan negara kita terus berada dalam keadaan selamat serta terhindar daripada perkara-perkara yang tidak diingini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Kem Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kekuatan 5 RS, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, jumlah anggota di kem berkenaan ketika ini mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan, mengambil kira operasi kawalan sempadan dari Perlis hingga Kelantan yang turut melibatkan beberapa kem Tentera Darat.
Terdahulu, beliau meninjau pembinaan 10 blok penginapan baharu di kem berkenaan yang mula dilaksanakan pada 20 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 13 Februari lalu.
Projek berkenaan membabitkan kos keseluruhan RM44.87 juta.