Jerebu di Malaysia dijangka reda dalam dua minggu

Foto RTM

BEIJING, 13 Oktober – Perubahan arah luruan angin ke Lautan Hindi dalam tempoh dua minggu diharap dapat membantu meredakan keadaan jerebu di Semanjung dan Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera dijangka berterusan beberapa minggu.
  • Monsun Timur Laut di Sumatera dan perubahan arah angin ke Laut China Selatan dijangka mengurangkan jerebu.
  • Usaha kemanusiaan dan kaedah saintifik disyor untuk mengatasi jerebu berulang dan bukan menjadi mangsa tahunan.
  • Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia; Indonesia menggerakkan lebih 19,000 anggota dan peralatan sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun, kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera yang menjadi punca jerebu dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi.

“Biarpun mungkin pemadaman itu hanya dapat diselesaikan selepas beberapa minggu dari sekarang, saya fikir dengan kehadiran Monsun Timur Laut di Sumatera, ia akan dapat mengurangkan kadar jerebu itu.

“Bagi Kalimantan pula, luruan angin dijangka bertukar arah ke Laut China Selatan. Maka, kita mengharapkan usaha kemanusiaan dan kaedah saintifik dapat dilaksanakan kerana kita tidak mahu terus menjadi mangsa kejadian jerebu di negara jiran setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di Beijing, China bersempena lawatan kerja lima hari ke negara itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut memaklumkan, Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun, Indonesia dilaporkan telah menggerakkan lebih 19,000 anggota, selain menggunakan peralatan sendiri bagi melaksanakan operasi pemadaman kebakaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.