KUALA LUMPUR, 12 April - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang, Banting dan Cheras semakin baik apabila berada pada tahap sederhana hingga pukul 8 pagi tadi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan IPU, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Klang mencatatkan bacaan 72, manakala Banting pula 87.
Sementara itu di Cheras, bacaan IPU adalah 81 dengan bacaan sederhana adalah pada kiraan 51 hingga 100.
Secara keseluruhan, tiada mana-mana kawasan merekodkan bacaan tidak sihat dengan bacaan dari 101 hingga 200 setakat pagi tadi.
Sebanyak 40 kawasan berada pada tahap sederhana, manakala 14 bacaan IPU adalah baik, sementara empat kawasan tidak dapat mencatatkan sebarang bacaan.
Pada Khamis, Klang, Banting dan Cheras mencatatkan IPU tidak sihat dengan Banting mencatatkan bacaan IPU (158), Klang (153) dan Cheras (155).
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia(METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga daerah di Johor.
Amaran itu membabitkan tiga daerah terbabit ialah Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.