
SEREMBAN, 13 Jun – Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan diminta memperkukuhkan gerak kerja serta mengetepikan kepentingan peribadi bagi memastikan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dalam keadaan bersatu.
- Perkukuhkan gerak kerja jentera PH, utamakan kesepaduan dan komitmen seluruh anggota untuk menghadapi pilihan raya dalam keadaan bersatu.
- Ketepikan kepentingan peribadi dan sokong calon yang dipilih pimpinan demi memastikan kemenangan gabungan.
- Galakkan pengundi keluar mengundi; pilihan raya platform tentukan kerajaan stabil, meneruskan pembangunan demi manfaat rakyat.
Seruan itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan pada Jumaat.
Beliau menegaskan setiap anggota parti perlu akur dengan keputusan kepimpinan berhubung pemilihan calon serta terus bekerja demi memastikan kemenangan gabungan berkenaan.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada individu yang dipilih sebagai calon, sebaliknya terletak pada kesepaduan dan komitmen seluruh jentera di setiap kawasan.
“Saya tidak mahu mendengar ada dalam kalangan jentera yang tidak menyokong calon yang diumumkan oleh pimpinan. Sebagai ahli parti dan anggota jentera, saya memohon agar kita menyokong apa jua calon yang dipilih oleh kepimpinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penyokong dan pengundi di Negeri Sembilan supaya keluar mengundi beramai-ramai pada hari pengundian nanti.
Menurutnya, pilihan raya merupakan platform terbaik untuk rakyat menentukan kerajaan yang stabil dan mampu meneruskan pembangunan negeri secara berterusan.
Beliau optimis kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan pada masa hadapan.