
KUALA LUMPUR, 31 Januari – Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT), berkuat kuasa esok.
- Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak sebagai Panglima Angkatan Tentera berkuat kuasa esok dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
- Beliau mempunyai kelayakan tinggi termasuk diploma dan dua ijazah sarjana dari UKM dan King’s College London.
- Pengalaman hampir 40 tahun dijangka memperkukuh kepimpinan, integriti dan profesionalisme ATM menghadapi cabaran pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda semalam.
Datuk Seri Mohamed Khaled menjelaskan, Jeneral Datuk Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial dalam bidang Pengajian Pertahanan dari UKM.
Perkhidmatan Jeneral Datuk Malek Razak bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Jeneral Datuk Malek Razak telah mempamerkan kebolehan, keupayaan serta kepimpinan yang tinggi, bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berkhidmat di pelbagai pasukan dan jawatan di peringkat pemerintah serta staf.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memaklumkan jawatan terakhir Jeneral Datuk Malek Razak sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
Kepimpinan baharu itu juga dijangka memulihkan serta memperkukuh wibawa ATM berteraskan integriti dan profesionalisme, di samping mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.