JOHOR BAHRU, 9 Februari- Jenazah Pengarah Bahagian Program TV RTM, Abdull Hadi Mohd Yusoff, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru, pada pukul 10.30 pagi tadi.
Pengebumian disempurnakan selepas solat jenazah di Masjid Kampung Melayu Majidee, pada pukul 9.30 pagi tadi.
Lebih 100 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat, dan warga RTM hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.
Isteri allahyarham, Norazlin Mohd Azman berkata allahyarham pergi dalam keadaan yang sangat tenang, semalam.
"Keadaannya tetap tenang sehingga hembusan nafas terakhirnya. Alhamdulillah.
"Doakan dia (allahyarham), sedekahkan al-Fatihah dan maafkan dia, ampunkan dia kalau seandainya sepanjang dia bertugas, ada marah dengan kakitangan kerja sebab dia juga orang yang garang.
"Harap anda semua dapat maafkan dia," katanya kepada RTM di sini.
Sementara itu, adik allahyarham, Hamdan Mohd Yusoff berkata allahyarham selalu mengingatkan adik beradik supaya melakukan sesuatu tugasan dengan bersungguh-sungguh.
"Itulah yang dapat saya gambarkan, sepanjang kami adik-beradik bersama, allahyarham sentiasa mengingatkan kami semua agar melakukan sesuatu perkara dengan betul dan bersungguh-sungguh.
"Dia juga berharap agar kami sekeluarga bersatu, kerana hanya emak yang tinggal," katanya.
Rakan-rakan sekerja pula menyifatkan allahyarham sebagai seorang ketua yang baik.
"Allahyarham sering menekankan semangat kerja berpasukan ketika bekerja. Sebenarnya, banyak ilmu yang telah dia turunkan, terutamanya daripada segi dokumentasi dan kerjasama berpasukan.
"Itu adalah perkara yang sangat dia tekankan, iaitu pentingnya kerjasama berpasukan," kata Penolong Pengarah Unit Suntingan RTM, Farah Syahnaz Ruslan
"Allahyarham seorang ketua yang baik. Kami warga kerja RTM mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham.
"Semoga allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh," kata Ketua Bahagian Promosi Dan Penjenamaan TV2, Muhammad Shahzil Abu Bakar.
"Saya rasa jabatan telah kehilangan seorang pemimpin yang sangat berkaliber dan berkredibiliti. Allahyarham adalah seorang bos yang tegas, tetapi sangat prihatin.
"Beliau sentiasa mengambil berat tentang anak-anak buahnya dan akan menjadi tempat rujukan sekiranya kita menghadapi sebarang masalah.
"Beliau juga sering memberikan kata-kata semangat kepada kami," kata Ketua Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri Johor, Zahrinul Aini Sumery.
Allahyarham, disahkan meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pukul pukul 7.30 malam tadi, selepas tiga tahun menderita dengan masalah kesihatan, termasuk masalah buah pinggang dan kanser darah.
BERITA BERKAITAN: