SEREMBAN, 9 Februari- Program Jualan Rahmah MADANI 'Kembali Ke Sekolah' Negeri Sembilan Tahun 2025 menawarkan pelbagai barangan keperluan sekolah pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Menurut Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membantu meringankan kos persediaan serta persiapan sesi persekolahan pelajar.
"Kita gunakan subsidi sebanyak RM3.3 juta bagi seluruh Negeri Sembilan bagi Program Back to School dan jumlah pelajar yang terlibat adalah hampir 200 pelajar termasuk sekolah menengah.
"Program ini akan dapat membantu pelajar-pelajar di Negeri Sembilan untuk membeli barangan keperluan dan peralatan sekolah bagi meneruskan sesi pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jualan Rahmah Madani 'Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2005' di sini.
Program yang bermula 8 hingga 10 Februari itu dilaksanakan secara serentak di seluruh Negeri Sembilan; turut mendapat penyertaan daripada 21 pasar raya dan outlet di seluruh negeri itu merangkumi lapan kawasan Parlimen.