MAIWP salur lebih RM9 juta untuk Program Iftar Rahmah MADANI

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan lebih RM9 juta untuk Program Iftar Rahmah MADANI 1447H/2026M sepanjang Ramadan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAIWP menyalurkan lebih RM9 juta untuk Program Iftar Rahmah MADANI sepanjang Ramadan 1447H/2026M.
  • Program melibatkan 70 masjid dan surau terpilih sasar asnaf, B40 dan golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.
  • Setiap hari disediakan kira-kira 300 pek makanan; JAWI komited memperkasa kebajikan dan menjadikan masjid pusat sehenti masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata peruntukan itu melibatkan 70 buah masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan yang menyasarkan golongan asnaf, B40 dan golongan yang memerlukan di tiga wilayah berkenaan.

“Alhamdulillah, setiap hari masjid tersebut menyediakan kira-kira 300 pek makanan kepada jemaah dan golongan memerlukan. Ini membuktikan bahawa masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan terus makmur dan meriah hasil sumbangan orang ramai serta sokongan pelbagai pihak.”

“Bukan itu sahaja, pada hari ini seramai 250 penerima turut menerima bakul makanan yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas. Inisiatif seperti ini amat dituntut dalam agama kita kerana ia mencerminkan semangat kebersamaan, ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.”

“Insya-Allah, Wilayah Persekutuan akan terus subur dan mekar dengan syiar Islam serta budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pek makanan dan menyaksikan penyampaian cek cura kepada wakil masjid yang terlibat di ibu negara.

Program yang diperkenal sejak tahun 2023 itu bertujuan membantu mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang agar terus memperoleh hidangan berbuka puasa yang berkualiti sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terus komited memperkasa agenda kebajikan umat Islam yang mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat di samping menjadikan masjid sebagai pusat sehenti masyarakat Islam dan bukan Islam.