‘Ancaman tidak melemahkan kami’ – TKP AKPS

Kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pagi tadi

SUNGAI BULOH, 25 Februari- Insiden tembakan ke atas kenderaan dinaiki seorang komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pagi tadi, sama sekali tidak akan menjejaskan agensi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS akan memperkuat kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota selepas insiden tembakan.
  • Penubuhan pasukan khas dan pengukuhan pasukan penguatkuasa serta pasukan risiko dipertimbangkan.
  • Pemerolehan aset keselamatan termasuk persenjataan dipercepat untuk melindungi pegawai.

Sebaliknya, tegas Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar, pihaknya akan memperkukuh lagi kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota termasuk meneliti penubuhan pasukan khas.

“Kes (tembakan) ini tidak melemahkan semangat pegawai-pegawai kami.

“Kawalan diteruskan seperti biasa, diperketatkan lagi dan kami tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman.

“Kami akan memperkukuh pasukan penguatkuasa, pasukan risik dan pasukan di peringkat kawalan pintu masuk,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan dan Iftar bersama warga AKPS malam tadi.

Ismail Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS

Menurut Ismail, AKPS kini mengendalikan 22 pintu masuk yang diklasifikasikan mengikut tahap risiko termasuk beberapa lokasi berstatus “hotspot” yang memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih ketat.

Tambah beliau, permohonan aset keselamatan termasuk persenjataan akan dipercepat untuk memastikan keselamatan pegawai terjamin.

Dalam kejadian pagi tadi, kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak disusur masuk Masjid Al Muhajirin, di Bukit Kayu Hitam, Kedah, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand pada 5.40 pagi tadi.

Beliau yang dalam perjalanan menunaikan solat subuh dilaporkan terselamat dalam kejadian itu.