KUALA LUMPUR, 8 Februari- Pengarah Bahagian Program TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdull Hadi Mohd Yusoff, 59 tahun meninggal dunia petang tadi akibat kanser darah.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.20 petang tadi di kediaman isterinya di Johor Bahru.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Kampung Melayu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Danga, Johor Bahru sebelum zohor esok.
Sebelum ini, beliau menghidap penyakit buah pinggang sebelum disahkan menghidap kanser darah jenis Multiple Myeloma.
Allahyarham merupakan anak sulung kepada empat beradik merupakan bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar atau English College Johor Bahru.
Kemudian allahyarham melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa UiTM (ITM) dalam pengkhususan Penyiaran dari 1987 hingga 1991.
Pada 1992 allahyarham bertugas sebagai Penolong Penerbit secara kontrak di Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan bakatnya mula terserlah menerusi segmen Telehijau yang diterbitkan oleh allahyarham dengan mengetengahkan isu-isu alam sekitar di Malaysia.
Pada 1993 allahyarham berkhidmat di Jabatan Penyiaran Malaysia sebagai penerbit di RTM Sarawak.
Kemudian allahyarham bertukar ke RTM Kuala Lumpur dan diberi tanggungjawab mengetuai beberapa unit penerbitan seperti Bahagian Berita dan Ehwal Semasa, Bahagian Perhubungan Awam, Unit Majalah Dokumentari TV dan juga di stesen radio KLfm.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah RTM Johor, Pengarah RTM Negeri Sembilan dan Pengarah RTM Sarawak.
Jawatan terakhir allahyarham adalah sebagai Pengarah Bahagian Program TV.
Dalam pada itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.
"Saya menerima khabar dukacita daripada rakan-rakan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bahawa Pengarah Program TV RTM, Encik Abdull Hadi bin Mohd Yusoff telah kembali ke rahmatullah pada 7.21 malam tadi.
"Takziah kepada keluarga, rakan sekerja dan sahabat handai Allahyarham. Saya mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah berdepan kehilangan ini.
"Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," menurut hantaran di Facebook Fahmi.