ALOR SETAR, 9 Februari- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menggerakkan pasukan siasatan ke kawasan berhampiran Kampung Padang Mukim Sungai Kecil Hilir, Bandar Baharu Kedah dan rumah penduduk berdekatan susulan kejadian letupan kuat semalam dipercayai berpunca daripada aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari.
Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam satu kenyataan memaklumkan notis arahan bawah Seksyen 37 (1) (d) dikeluarkan kepada pemaju untuk mengemukakan laporan dan kawalan peletupan yang dilaksanakan di tapak kuari.
"Pemaju diarahkan untuk sentiasa mematuhi semua syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa dan melaporkan sebarang insiden yang berlaku khususnya melibatkan konflik dan kacau ganggu kepada penduduk.
"Insiden berkenaan diketahui melalui pihak media yang melaporkan rumah di kampung berhampiran kuari itu mengalami kerosakan akibat aktiviti kuari.
"JAS turut mengesahkan aktiviti letupan bongkah batu di kuari terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan tahap bunyi dan gegaran di tapak kuari berkenaan mematuhi had ditetapkan.
Namun Sharifah Zakiah berkata syarikat pengusaha kuari akan menanggung kos membaiki kerosakan rumah penduduk hasil perbincangan antara JAS Kedah dengan syarikat berkenaan.
"Pada dasarnya syarikat kuari mematuhi zon penampan di mana jarak rumah ke kuari sekitar 650 meter (lebih 500 meter) dan mematuhi had bunyi dan gegaran ditetapkan JMG, namun impak sebenar yang berlaku kepada perumahan penduduk tidak wajar diabaikan.
"Tiada sebarang aduan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut melalui mana-mana saluran aduan kepada JAS mahupun JMG," tambah kenyataan itu.
JAS turut memaklumkan berkenaan kelewatan aduan boleh menyukarkan siasatan kerana bahan bukti mungkin terjejas.
Namun semakan dengan pihak polis mendapati pengadu telah membuat laporan polis pada Khamis susulan kerosakan rumah yang didakwa berpunca daripada aktiviti letupan kuari tersebut.
Pada masa sama JAS Kedah akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam menangani sebarang isu berkaitan operasi kuari.
"Semua projek yang tertakluk bawah perintah penilaian impak alam sekitar (EIA) dilawati sebanyak empat kali setahun oleh unit penguatkuasa EIA, JAS Kedah. Rondaan secara berkala turut dijalankan oleh JAS cawangan Kulim.
"Walaupun berdepan kekangan kakitangan untuk memantau projek serta lain-lain aktiviti di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS Kedah tetap komited bagi memastikan pematuhan terhadap akta tersebut," menurut kenyataan itu.
Sebarang aduan boleh disampaikan terus kepada JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 dan sistem e-aduan JAS, iaitu eaduan.doe.gov.my.