PETALING JAYA, 6 September- Jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin agar Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang akan berlangsung bulan depan merupakan satu perkembangan positif.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berharap ia bakal memberi pulangan terbaik buat negara.
"Ini adalah satu perkembangan sihat dan positif. Malaysia sebagai negara tidak berpihak dan berhak mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan mana-mana negara.
"Jemputan Presiden Putin kepada Malaysia adalah perkembangan positif dan kita harap akan membuahkan pulangan... berkenaan BRICS itu sendiri, terdapat peluang yang cukup baik.
"India, China dan Brazil yang semuanya merupakan negara dalam BRICS, menawarkan potensi daripada segi ekonomi untuk meningkatkan perdagangan, baik dua hala atau pelbagai hala. Ini adalah sesuatu yang positif untuk Malaysia," katanya.
Fahmi ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN) di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapannya pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok, Rusia menzahirkan rasa terima kasih kepada Putin kerana menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.
BRICS ialah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009, merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Pada Januari 2024, negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.