Jelajah Kesejahteraan Rakyat perkasa usaha tangani kemiskinan

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos — Usaha menangani kemiskinan terus diperkasa menerusi Program Jelajah Kesejahteraan Rakyat Peringkat Zon Tengah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, yang memberi tumpuan kepada penyampaian bantuan secara terus kepada golongan sasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan bersepadu mengenal pasti keperluan setiap keluarga secara bersasar, kata Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik ICU JPM.
  • Bantuan mengambil kira keperluan anak termasuk aspek pendidikan dan diselaraskan bersama JKM serta agensi lain.
  • Penyampaian bantuan praktikal seperti motosikal tiga roda membantu penerima meningkatkan perniagaan dan pendapatan.
  • Kerajaan menyasarkan mengurangkan bilangan isi rumah miskin melalui intervensi fokus peningkatan pendapatan peserta e-Kasih.

Seramai 4,000 pengunjung, termasuk 700 peserta e-Kasih, menghadiri program berkenaan yang turut menampilkan 18 reruai perkhidmatan kerajaan bagi menyediakan khidmat nasihat, semakan kelayakan serta padanan bantuan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Strategik ICU JPM, Datuk Norashiken Ishak berkata, pendekatan secara bersepadu itu membolehkan keperluan setiap keluarga dikenal pasti dengan lebih bersasar.

Katanya, bantuan yang disalurkan bukan hanya tertumpu kepada ketua isi rumah, sebaliknya turut mengambil kira keperluan anak-anak termasuk aspek pendidikan.

“Kita bersama-sama dengan bantuan JKM dan agensi lain untuk membantu apa keperluan mereka dan bagaimana untuk menolong mereka keluar daripada kemiskinan.

“Kita bukan hanya tumpukan kepada isi rumah, tetapi kita lihat juga kepada anak isi rumah. Mungkin ada anak-anak yang memerlukan bantuan pendidikan, kita akan ikhtiarkan bantuan bersama-sama dengan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Kesejahteraan Rakyat Peringkat Zon Tengah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Program itu turut menyaksikan penyampaian pelbagai bentuk bantuan kepada penerima yang layak, antaranya motosikal tiga roda bagi membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih lancar, sekali gus membuka peluang meningkatkan pendapatan.

Bagi penerima bantuan, Mohd Aminuddin Abd Ghani, bantuan motosikal tiga roda itu memudahkannya menjalankan perniagaan makanan.

“Insya-Allah, dengan adanya motor ini saya boleh bergerak lebih lancar dan membawa lebih banyak barang. Saya berniaga dadih. Sebelum ini berniaga nasi lemak, tetapi kurang pembeli.

“Sekarang saya berniaga dadih. Terima kasih kepada kerajaan kerana membantu kami yang susah ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Razali Ngah, turut melahirkan rasa gembira menerima bantuan berkenaan yang memudahkannya membawa barangan ketika berniaga.

“Naik motor juga, pakai bubuh bakul di belakang. Dah kereta tak pandai. Perasaan memang gembira. Terima kasih,” katanya.

Pendekatan berkenaan selari dengan usaha kerajaan menangani kemiskinan secara menyeluruh, termasuk membantu isi rumah meningkatkan keupayaan menjana pendapatan dan mencapai kestabilan ekonomi.

Di Terengganu, jumlah ketua isi rumah miskin yang direkodkan pada Julai lalu sekitar 26,800, sebelum berkurangan kepada kira-kira 24,100 isi rumah setakat 13 Ogos lalu.

Kerajaan menyasarkan jumlah itu terus dikurangkan kepada 20,000 isi rumah menjelang akhir tahun ini menerusi pelbagai intervensi yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan dan kestabilan ekonomi, khususnya dalam kalangan peserta e-Kasih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.