
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Universiti Malaya (UM) bersedia menyumbang kepakaran dan pandangan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara susulan cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
- Pengumuman Perdana Menteri: kerajaan akan memansuhkan AUKU dan KPT merangka akta baharu yang lebih komprehensif.
- Menyokong hala tuju RPTM 2026-2035 termasuk agenda One Higher Education Act untuk memperkukuh asas perundangan pendidikan tinggi.
- Pembaharuan perlu dirangka menyeluruh, mengambil kira perubahan landskap pendidikan tinggi dan peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa dan negara.
- Tumpuan pembaharuan: perkuat autonomi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti melalui penglibatan aktif institusi pendidikan tinggi.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, kesediaan itu merangkumi penyertaan dalam proses libat urus bersama KPT dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kerangka perundangan baharu yang bakal dibangunkan mengambil kira keperluan serta perkembangan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi.
“UM bersedia memberikan kerjasama serta menyumbang pandangan dan kepakaran kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus serta pembangunan kerangka perundangan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa, manakala KPT sedang merangka akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikannya.
Sehubungan itu, UM turut menyambut baik hala tuju KPT seperti digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act, yang dilihat sebagai peluang penting untuk memperkukuh asas perundangan sektor pendidikan tinggi negara.
Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan berkata, pembaharuan berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pemansuhan AUKU, sebaliknya perlu dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira perubahan landskap pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.
“Usaha ini merupakan langkah penting dalam memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara terus relevan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, di samping memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan aktif institusi pendidikan tinggi dalam proses libat urus amat penting bagi memastikan kerangka baharu itu bukan sahaja bersifat komprehensif, malah mampu menyokong keperluan universiti yang semakin kompleks dan dinamik.
UM turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan KPT dan pihak berkepentingan dalam memastikan transformasi pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan secara inklusif, progresif dan selaras dengan keperluan semasa.