ALOR SETAR, 8 November-Mekanisme untuk menjejaki rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi, termasuk cadangan penggunaan nombor kumpulan pada setiap peket, sedang dikaji.
Langkah tersebut bertujuan membanteras ketirisan minyak masak bersubsidi di peringkat peruncit, pemborong, dan pembungkus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh, memaklumkan bahawa pihaknya telah melakukan operasi di beberapa kilang pembungkus minyak masak dan mendapati terdapat ketirisan berlaku.
"Kita telah gempur beberapa kilang pembungkus minyak masak dan dapati ada berlaku ketirisan. Contohnya, ada jenama minyak masak yang berada di tempat tidak sepatutnya tetapi apabila tanya peruncit, pemborong dan pembungkus, tiada jawapan.
"Jadi macam mana kita hendak tengok siapa yang bersalah dalam ketirisan ini", katanya demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan mengejut di dua kilang memproses ayam dan tiga premis runcit di sekitar daerah Kota Setar
Hasil pemeriksaan mendapati minyak masak beberapa jenama ditemui di lokasi yang tidak sepatutnya.
Peruncit, pemborong, dan pembungkus yang diperiksa tidak dapat memberi penjelasan mengenai keberadaan minyak masak bersubsidi tersebut, menyukarkan usaha mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Dr. Fuziah turut menjelaskan bahawa penggunaan nombor kumpulan pada setiap peket minyak masak akan memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana berlakunya ketirisan dalam rantaian pengedaran.