MERSING, 3 Julai – Sebanyak 50 peserta menyertai Program Eksplorasi Rumput Laut anjuran Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) pada 1 dan 2 Julai lalu bagi mempergiat usaha pemeliharaan ekosistem marin di perairan Mersing.
Program itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk wakil Pejabat Daerah Mersing, sukarelawan JCorp dan syarikat dalam kumpulan, penyelidik Universiti Malaya serta pengusaha pelancongan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman, berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan daripada projek Rehabilitasi Terumbu Karang yang bermula sejak 2023, namun kali ini memberi tumpuan khusus kepada kawasan rumput laut.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program termasuk taklimat pemuliharaan alam sekitar, lawatan lapangan serta sesi perbincangan bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan habitat marin.
Menurutnya, projek Rehabilitasi Terumbu Karang yang dijalankan sebelum ini juga menunjukkan perkembangan positif, apabila kawasan itu kini menjadi habitat kepada lebih 10 spesies ikan dan hidupan laut seperti Bluefaced Angelfish, Regal Angelfish dan False Clown Anemonefish.
Inisiatif tersebut turut menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026, dengan menjadikan Mersing sebagai salah satu destinasi utama ekopelancongan marin di negeri ini.