fb fb fb fb fb

JAWI terima kumpulan pertama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menerima kumpulan pertama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam masa terdekat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, seramai 113 orang guru akan ditempatkan di lima buah sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) di ibu negara dan Putrajaya.

"JAWI juga turut diberi mandat dan kepercayaan untuk mengelola dan menguruskan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dilantik secara tetap dan berpencen dengan jumlah pegawai perkhidmatan pendidikan terkini berjumlah 1,632 orang guru yang ditempatkan di 71 buah Sekolah Rendah Agama dan 5 buah Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) seluruh Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Hari Keusahawanan Siraj Saidina Uthman Bin Affan di sini.

Menurut Mohd Na'im, kemenjadian dan keberhasilan murid-murid institusi pendidikan Islam di Malaysia terutamanya di Wilayah Persekutuan akan sentiasa menjadi fokus utama dalam memartabatkan syiar Islam.

Sehubungan itu, sebuah lagi SIRAJ di Wilayah Persekutuan Labuan akan ditubuhkan dan mula beroperasi pada Mac 2024 bagi sesi persekolahan 2024 dan 2025.

Sehingga kini, terdapat lima buah SIRAJ di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia memberikan penumpuan terhadap aspek pembelajaran dunia dan akhirat.

Karnival Hari Keusahawanan itu bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekali gus mendekatkan institusi pendidikan Islam bawah JAWI dengan masyarakat setempat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI