fb fb fb fb fb

JAS Kedah serbu premis haram proses sisa elektronik

FOTO JAS KEDAH

SUNGAI PETANI, 6 Julai- Sebuah lagi premis haram yang disyaki memproses sisa elektronik digempur Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah di sebuah kawasan perindustrian Sungai Petani, Kedah.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya mengesan aktiviti pemindahan disyaki buangan terjadual dari sebuah premis di kawasan tersebut dalam operasi semalam.

Katanya menerusi kenyataan beberapa individu yang berada di dalam kilang sempat melarikan diri melalui laluan belakang.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual iaitu buangan elektronik secara haram.

Premis disyaki melakukan kerja-kerja pengasingan dan menempatkan buangan terjadual SW110 iaitu e-waste daripada pemasangan elektrikal dan elektronik, PCB board, sekerap logam dan SW 103 iaitu bateri litium terpakai.

Terdapat sebuah lori treler di dalam premis dan sebahagian buangan sekerap logam dan satu jumbo bag yang disyaki buangan terjadual sedang dimuatkan ke dalam treler tersebut.

Kesemua buangan terjadual serta lori yang dijumpai di dalam premis telah disita dengan nilai anggaran keseluruhan RM700,000 selain dokumen berkaitan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 18, Seksyen 34A, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 (Akta 127).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE