SEPANGGAR, 16 November - Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara.
Tegas beliau, perkara itu tidak boleh dikompromi dan perlu kekal menjadi agenda nasional yang bebas daripada manipulasi politik.
Tambah Datuk Mohamed Khaled, hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah amat penting demi memastikan keselamatan negara yang menjadi kepentingan bersama sentiasa terpelihara.
Jelas beliau, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak memberi kesan langsung terhadap kelancaran tugas anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
"Jangan ada yang menghasut hingga mencetuskan kebencian terhadap kerajaan persekutuan kerana perkara itu akan menyusahkan anggota keselamatan dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara," beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini.
Tambah beliau, penganjuran Karnival Hari Keluarga dan seumpamanya menjadi platform penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan ATM dan mengelakkan mereka dipengaruhi sentimen luar yang boleh menjejaskan perpaduan.
Program itu disertai kira-kira 4,300 anggota ATM bersama keluarga.