KUALA KEDAH, 15 April- Keretakan yang berlaku di Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah, membabitkan permukaan jalan di sambungan pengembangan telah lama wujud, namun ia mendapat reaksi daripada ramai pengguna apabila keadaan jalan tersebut ditularkan menerusi platform media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dalam satu kenyataan berkata, sambungan pengembangan adalah kawasan antara dua struktur jambatan dipisahkan secara struktur dan ia tidak bersambung.
Bagaimanapun perkara tersebut baru disedari oleh pengguna sebelum ia tular.
"Bahagian tepi retakan mempunyai rumput dan pasir menunjukkan ia telah lama dan bukan retakan baharu.
"Kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan dan permukaan jalan di kawasan itu diturap supaya pengguna selesa melaluinya," katanya.
Perkara itu ditularkan menerusi satu hantaran di Facebook menggunakan nama akaun Dieana Noor Shuhaiba yang berkongsi situasi terkini jambatan yang menghubungkan Kampung Kubang Rotan, Kampung Kubang Jerangau dengan pekan Kuala Kedah.
Dalam hantaran berkenaan individu terbabit menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika menggunakan jambatan yang dibina sekitar tahun 1991.