fb fb fb fb fb

Jambatan Bailey dibina ganti sementara jambatan lama Sungai Slim

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad

TANJUNG MALIM, 24 Ogos - Sebuah jambatan Bailey dijangka akan dibina bermula hari ini bagi menggantikan sementara Jambatan Lama Sungai Slim (Slim Village) di Jalan Slim River-Behrang Hulu yang runtuh akibat pergerakan kepala air, petang semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembinaan jambatan itu dijangka siap dalam masa lima hari.

"Manakala dua buah jambatan lagi yang yang turut runtuh, merupakan jambatan jalan kampung iaitu Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampug Sg Muda menghubungkan Kampung Piong," kata Saarani.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika meninjau Jambatan Lama Sungai Slim, di sini.

Saarani berkata struktur konkrit pada jambatan sepanjang 77 meter dan lebar 7.5 meter yang menghubungkan pekan Slim Village ke Bandar Slim River serta Bandar Behrang, mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada serpihan kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut sentiasa terjamin, laluan tersebut ditutup untuk sementara.

Saarani berkata JKR juga akan melaksanakan pengurusan traffik seperti sistem papan tanda, sekatan dan lain-lain peralatan, sebagai amaran awal bahawa kawasan tersebut ditutup untuk sementara.

Pada kejadian kira-kira 6.45 petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air berserta kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.

Setakat pagi ini, 175 mangsa daripada 42 keluarga diselamatkan dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), sementara 19 lagi mangsa di Risda Eco Park masih belum diselamatkan akibat jambatan berhampiran runtuh.

TETITIA YUSOFF