fb fb fb fb fb

ISWAMI buka ruang nilai jurnalistik negara serumpun

Delegasi media Malaysia berkunjung ke ibu pejabat The Jakarta Post dalam program Jejak Serumpun pada Jumaat.

JAKARTA, 17 Februari - Hubungan media Malaysia-Indonesia dapat diperkukuhkan dengan adanya penglibatan serta kerjasama antara kedua-dua negara, kata Ketua Pengarang The Jakarta Post, Taufiq Rahman

Berkongsi pandangan dengan Ikatan Setiawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dalam lawatan Jejak Serumpun itu, beliau berkata usaha itu dapat dilaksanakan menerusi pertukaran wartawan dan penyunting sebagai negara serumpun.

Katanya, ini termasuk penulisan komentar dan pendapat yang harus dimanfaatkan oleh media Malaysia dan Indonesia bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama dua hala.

“Pertukaran maklumat, nilai-nilai kewartawanan seperti idea, budaya dan naratif melibatkan kedua-dua negara perlu diteruskan dalam memperkasakan industri dan landskap media.

“Apa yang terbaik boleh kita lakukan ialah menyediakan lebih banyak program pertukaran seperti yang dilakukan oleh ISWAMI.

“Pada sebelum ini, ramai pemimpin tertinggi Malaysia dalam lawatan rasmi ke Indonesia, kami berkesempatan untuk menemu bual mereka dan ini sangat penting buat kami di Indonesia.

“Dengan peluang yang diberikan itu, dapat merapatkan lagi hubungan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jejak Serumpun di Ibu Pejabat The Jakarta Post di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia Mohd Shukri Ishak berkata, ISWAMI mempunyai matlamat yang lebih besar dengan mengangkat suara wartawan ke peringkat ASEAN.

Dalam lawatan Jejak Serumpun pada hari ke-6 itu, 15 wartawan muda bersama ISWAMI Malaysia mengunjungi Ibu Pejabat The Jakarta Post.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun nusantara.

ZEHRA BINTI ZAMBRI