
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Isu berkaitan pasaran beras putih tempatan yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dapat ditangani secara lebih proaktif menerusi pembangunan produk hiliran bernilai tambah.
- Pembangunan produk hiliran beras mampu mewujudkan rantaian nilai baharu dan meningkatkan pulangan kepada petani.
- Inisiatif hiliran membuktikan kualiti beras tempatan serta membuka peluang menembusi pasaran antarabangsa.
- Pelancaran Snek Beras Putih Pertama Malaysia menandakan langkah komersial baharu melangkaui kegunaan ruji.
- Transformasi beras kepada snek moden mampu menarik generasi pengguna baharu dan meluaskan pasaran komoditi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak optimis pendekatan berkenaan bukan sahaja membuktikan kewujudan serta kualiti beras tempatan, malah mampu mewujudkan rantaian nilai baharu yang memberi pulangan lebih baik kepada petani dan pesawah.
“Sebelum ini banyak kontroversi berhubung beras putih tempatan kononnya hilang, tidak dapat dijual dan pelbagai lagi. Sebenarnya ia ada, dan melalui usaha ini produk tersebut boleh ditukar menjadi produk hiliran berkualiti, bermutu serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Inisiatif seumpama ini menjamin petani kita mempunyai peluang bukan sahaja untuk menghasilkan beras ruji, tetapi juga produk nilai tambah yang boleh bersaing di pasaran terbuka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Snek Beras Putih Pertama Malaysia, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran turut disempurnakan oleh Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bersama Pengarah Urusan Serba Wangi Sdn Bhd, Low Kok Kean.
Sementara itu, Low berkata penghasilan snek tersebut menandakan langkah baharu syarikat dalam meneroka potensi komersial beras tempatan, melangkaui kegunaan tradisional sebagai makanan ruji.
Menurutnya transformasi beras kepada produk snek moden berupaya menarik minat generasi pengguna baharu, selain memperluaskan pasaran bagi komoditi berkenaan. – BERNAMA