fb fb fb fb fb

Isu Palestin: Malaysia sertai Sesi Pendengaran Awam untuk Pendapat Nasihat ICJ

Peace Palace di The Hague, Belanda/Hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Februari- Malaysia menyertai Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan perundangan daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin dan Baitul Maqdis Timur.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai delegasi negara dalam satu kenyataan memaklumkan beliau akan menyampaikan kenyataan lisan Malaysia pada 23 Februari ini.

Permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022.

Malaysia telah menyokong dan menaja bersama terhadap resolusi berkenaan.

Dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Perhimpunan Agung PBB telah mengemukakan beberapa persoalan perundangan kepada ICJ antaranya kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri, dasar dan tindakan Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel tersebut serta kesan perundangan kepada semua negara dan PBB hasil pendudukan tersebut.

Penyertaan Malaysia melambangkan usaha bersepadu negara di pelbagai platform antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke muka pengadilan.

"Ia juga adalah selari dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa."

"YAB Perdana Menteri sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak," kata kenyataan itu.

Tegas Mohamad, Malaysia kekal komited dan sedaya upaya mencari jalan penyelesaian yang berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa.

Sesi Pendengaran Awam diadakan di Peace Palace, The Hague, Belanda bermula 19 hingga 26 Februari 2024.

Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara.

Penyertaan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam ini merupakan kali kedua Malaysia terlibat secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

Pada tahun 2004, Malaysia telah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM