fb fb fb fb fb

Isu air Kedah perlu ditangani lebih serius

Foto BERNAMA

SIK, 14 April- Kerajaan negeri Kedah perlu lebih serius menangani isu masalah bekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat terutama apabila menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Rangkaian Sahabat DMK, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata krisis berulang terputus bekalan di kawasan yang bertekanan rendah ketika Aidilfitri turut melibatkan daerah Sik.
 
Katanya, kerajaan Kedah perlu membuat penjelasan kepada rakyat negeri itu yang terbeban berikutan krisis bekalan air.

"Hari Raya contohnya macam kami di kampung ini, saya dapat macam-macam aduan di Sik ini.

"Masalah air, ada orang yang balik berhari raya tapi balik berhari raya satu hari, mereka pulang ke rumah sendiri kerana masalah air ini.

"Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan permasalahan sebegini," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, antara beberapa kawasan yang paling teruk terjejas adalah sekitar Tanjung Dawai, Merbok, Kuala Kedah, Sik dan beberapa kawasan di Kubang Pasu yang selama ini sering mengalami gangguan bekalan sehingga memerlukan empat hingga lima hari untuk mendapatkan bekalan air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@ Munir  Zakaria dalam kenyataan berkata Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan bekalan air tidak terjejas berikutan peningkataan sebanyak 30 peratus penggunaan sepanjang Aidilfitri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM