
PUTRAJAYA, 17 Ogos – Keadaan cuaca semasa akan diambil kira dalam keseluruhan perancangan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, sekiranya tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal tinggi susulan situasi jerebu melanda negara.
- Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dijadualkan untuk meneliti perancangan sambutan.
- Kerajaan bekerjasama dengan NRES, Jabatan Meteorologi, KPM dan KKM memastikan maklumat tepat diselaraskan.
- Maklumat disampaikan melalui berita, televisyen, radio dan inisiatif Info 'On Wheels' untuk beri panduan aktiviti luar.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diteliti dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin (17 Ogos 2026).
“Kita akan teliti, kali ini kami ada mesyuarat Jawantankuasa Induk pada petang ini sudah pasti keadaan cuaca akan diambil kira dalam sepanjang perancangan untuk sambutan hari kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulan Kementerian bagi bulan Ogos 2026 di sini.
Tambah Datuk Seri Fahmi, kerajaan akan bekerjasama dengan kementerian dan jabatan berkaitan bagi memastikan maklumat tepat mengenai keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini dapat disampaikan kepada rakyat.
Kerjasama itu melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Penyampaian maklumat bukan sahaja akan dibuat menerusi siaran berita, televisyen dan radio, malah turut menggunakan inisiatif Info ‘On Wheels’ Jabatan Penerangan Malaysia untuk turun ke kawasan tertentu,” katanya lagi.
Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan rakyat mengetahui aktiviti yang perlu dikurangkan atau dielakkan, khususnya di kawasan yang mencatatkan tahap IPU tinggi.
“Ini bukan hanya pembakaran terbuka, tetapi mungkin aktiviti riadah dan aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan-kawasan yang mengalami tahap IPU yang tinggi,” Tambahnya lagi.