
SEREMBAN, 17 Ogos- Kemudahan berurusan serta pengalaman menyimpan di Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi antara faktor pendeposit terus memilih institusi itu sebagai platform simpanan dan persediaan menunaikan ibadah haji.
- Pengalaman berurusan mudah di kaunter memberi keyakinan pendeposit untuk terus menggunakan perkhidmatan TH.
- Pendeposit jangka panjang tetap yakin walaupun wujud isu kerana percaya kerajaan mengambil langkah menanganinya.
- TH dipilih sebagai platform simpanan untuk persediaan menunaikan haji dan keperluan masa depan; pendeposit berharap isu diselesaikan.
Tinjauan RTM di Seremban mendapati pendeposit masih menggunakan perkhidmatan TH bagi membuat simpanan, khususnya sebagai persediaan menunaikan ibadah haji serta keperluan kewangan pada masa hadapan.
Pendeposit, Kamariah Kasnawi berkata pengalaman berurusan dengan TH selama ini memberi keyakinan kepadanya untuk terus menggunakan perkhidmatan institusi berkenaan.
“Saya sudah lama menjadi pendeposit TH. Setakat saya berurusan dengan TH sekarang, saya lihat institusi itu masih baik dan urusan di kaunter juga mudah. Saya juga sudah mendaftar untuk umrah dan haji, dan setakat ini tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya.
Bagi Mohd Tahir Mohd Nor, isu yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan urusannya dengan TH, malah beliau terus menyimpan di institusi itu sejak mula bekerja.
“Saya sudah bersama TH sejak mula bekerja. Bagi saya, isu yang berlaku ketika ini tidak menjejaskan keyakinan saya kerana saya percaya pihak kerajaan sudah mengambil langkah untuk menanganinya. Jadi, bagi saya tiada masalah dan saya masih yakin dengan TH,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shafiq Adnan berkata, pengalaman menyimpan di TH sejak kecil mendorongnya untuk terus memilih institusi berkenaan sebagai tempat membuat simpanan.
“Saya sudah menyimpan di TH sejak kecil dan setakat ini tidak pernah menghadapi sebarang masalah. Jadi, saya rasa TH masih baik sebagai tempat untuk membuat simpanan,” katanya.
Muhammad Harith Zikri Zaidi pula berkata, TH menjadi antara pilihannya untuk membuat persediaan menunaikan ibadah haji selain sebagai simpanan bagi keperluan masa depan.
“Sampai sekarang saya masih menyimpan di TH dan memang tidak menghadapi masalah. Bagi saya, TH merupakan platform simpanan untuk persediaan menunaikan haji dan simpanan masa depan,” katanya.
Seorang lagi pendeposit, Norlilawati Md Nor berharap sebarang isu berkaitan TH dapat ditangani dengan baik supaya institusi itu terus membantu umat Islam membuat persediaan menunaikan ibadah haji dan menyediakan simpanan untuk masa depan.
“Saya harap selepas isu ini ditangani, keyakinan kita terhadap TH akan terus meningkat kerana ia merupakan tabungan untuk persediaan menunaikan haji,” katanya.