fb fb fb fb fb

Istiadat persandingan Tengku Puteri Afzan, FD Idzham berlangsung di Istana Abdulaziz

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah mendahului upacara merenjis kepada pasangan mempelai.

KUANTAN, 25 Ogos- Istiadat persandingan anakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini malam ini.

Istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selain dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anak bekas Presiden Indonesia Suharto, Siti Hediati Hariyadi.

Istiadat dimulakan dengan menyuap nasi semangat atau pulut kuning kepada pasangan diraja oleh kekanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Meriam Sultan Ahmad Shah.

Istiadat diteruskan dengan upacara merenjis kepada pasangan mempelai yang didahului oleh Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah, diikuti Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah.

Ia diikuti ibu bapa pengantin lelaki iaitu Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Datin Seri Hafizah Mohd Zakaria serta datuk dan nenek FD Idzham iaitu Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din serta Puan Sri Zainun Yaacob turut merenjis pasangan mempelai.

Turut merenjis pasangan itu Siti Hediati Hariyadi, Wan Rosdy dan isterinya, Datin Seri Burhah Mohammed.

Majlis diakhiri dengan meletakkan peralatan istiadat iaitu pancabicara sebagai tanda merestui pasangan itu yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diikuti bacaan doa oleh Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Pancabicara merupakan peralatan istiadat yang digunakan dalam istiadat perkahwinan diraja Pahang.

Pasangan pengantin kemudian dibawa meninggalkan istiadat bersanding untuk majlis memotong kek dan santapan.

Tengku Puteri Afzan dan FD Idzham selamat diijabkabulkan pada Khamis lepas di Balai Mahkota disusuli istiadat berinai pada Jumaat.

ZEHRA BINTI ZAMBRI