Institusi raja payung kestabilan negara, perpaduan rakyat

Imam 2 Masjid Negara Hassan Al Fadhil Abdul Rahman/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar lambang kedaulatan negara, bahkan Seri Paduka Baginda merupakan payung yang menaungi rakyat, pemelihara agama serta tiang seri kepada kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelihara adab terhadap Raja dan pemimpin; jangan salahguna kebebasan bersuara di media sosial untuk tujuan negatif.
  • Raja dan rakyat ibarat aur dan tebing, saling menguatkan dan tidak terpisah dalam menghadapi cabaran.
  • Kesejahteraan negara terhasil apabila kepimpinan amanah dan rakyat bertanggungjawab berjalan seiring serta saling melengkapi.
  • Elakkan perpecahan dalaman; runtuhnya negara sering bermula daripada perpecahan dan kegagalan menghormati identiti negara.

Bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi tahun 2026 yang disambut pada Isnin, 1 Jun ini, khutbah Jumaat dibacakan Imam 2 Masjid Negara Hassan Al Fadhil Abdul Rahman hari ini mengingatkan umat Islam agar memelihara adab terhadap Raja dan pemimpin serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara di media sosial bagi tujuan negatif.

“Dalam warisan hikmah melayu disebut bahawa raja dan rakyat berpisah tiada , raja dan rakyat itu ibarat aur dan tebing, saling menguatkan dan tidak terpisah dalam apa jua cabaran,” menurut khutbah Jumaat itu.

Teks khutbah bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku Amanah Raja, Tanggungjawab Rakyat’ disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Khutbah berkenaan turut mengingatkan bahawa kesejahteraan sesebuah negara tidak akan tercapai menerusi kekuatan kepimpinan semata-mata mahupun usaha rakyat secara berasingan.

Sebaliknya, ia terhasil apabila kepimpinan yang amanah dan rakyat yang bertanggungjawab berjalan seiring, seia sekata serta saling melengkapi.

Umat Islam juga diingatkan agar bersatu dan menjauhi perpecahan dengan menegaskan bahawa runtuhnya sesebuah negara bukan sahaja datang daripada ancaman luar, sebaliknya sering bermula daripada perpecahan dalaman serta kegagalan menghormati identiti negara.

Selain itu, khutbah berkenaan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menabur fitnah atau caci maki yang boleh meruntuhkan perpaduan.

Turut hadir menunaikan solat Jumaat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Timbalannya, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr.Sirajuddin Suhaimee.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.