
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan isu berkaitan proses penilaian dan pelaksanaan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil kini dalam perhatian suruhanjaya itu untuk siasatan dan tindakan lanjut.
- SPRM telah menerima laporan dan sedang meneliti maklumat serta dokumen berkaitan siasatan.
- SPRM memandang serius dakwaan yang melibatkan unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan terutama kepentingan awam dan perolehan kerajaan.
- SPRM mengalu-alukan kerjasama pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan supaya penelitian dijalankan menyeluruh dan profesional.
- SPRM menyeru pemberi maklumat tidak mendedahkan maklumat kepada pihak lain untuk mengelakkan kebocoran dan menjejaskan proses tindakan.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara berkenaan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan pada Khamis termasuk meneliti maklumat serta dokumen berkaitan yang diterima.
“SPRM memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan khususnya melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan,” menurut kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan profesional.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu menyeru pihak yang tampil menyalurkan maklumat supaya tidak mendedahkannya kepada mana-mana pihak lain bagi mengelakkan kebocoran maklumat selain memastikan ia tidak menjejaskan sebarang proses tindakan lanjut SPRM.