
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Pelajar sekolah menengah dan penuntut Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyambut baik inisiatif pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Pelajar meluahkan syukur dan melihat baucar sebagai galakan menambah minat membaca dalam kalangan belia sekolah menengah dan IPTA.
- Baucar memudahkan pelajar memperoleh bahan bacaan serta rujukan pembelajaran yang diperlukan.
- Baucar turut boleh digunakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung selama 10 hari hingga 7 Jun.
Seorang pelajar, Hafiz Mulhim Othman, 18, yang ditemui RTM berkata, bantuan itu dapat digunakan untuk membeli buku sekali gus menggalakkan budaya membaca.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi baucar ini. Inisiatif ini juga dapat menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar,” katanya.
Hafiz Mulhim berkata demikian kjetika ditemui RTM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Seorang lagi pelajar, Nuramal Alfiyyah Ahmad Kamal, 20, pula berkata, baucar berkenaan memberi manfaat besar kepada pelajar dalam mendapatkan bahan bacaan dan rujukan pembelajaran.
“Dengan baucar ini saya dapat membeli buku-buku yang diperlukan untuk belajar. Terima kasih Perdana Menteri atas inisiatif ini,” katanya.
Bagi pelajar sekolah menengah, Hani Farah Medina Othman, 15, dia turut meluahkan syukur atas inisiatif yang disifatkan mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk membaca.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, inisiatif pemberian Baucar Buku MADANI RM100 bagi pelajar sekolah menengah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan penuntut IPTA diteruskan tahun ini.
Baucar itu juga boleh digunakan di PBAKL 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di WTCKL.